Jati Diri Sebenar Penentu Masa Depan Remaja

By Mohamad Asman - May 13, 2020

Photo by Miguel Bruna on Unsplash

(Teks ucapan Mohamad Asman pada 10 Februari 2020 di SMK Rompin, Pahang)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih kepada saudari pengerusi majlis. 

Yang berusaha, Encik Mohammad Hanafiah bin Alwi, pengetua SMK Rompin.

Yang dihormati, Encik Azhar bin Haji Hashim, GPK Kurikulum dan Pentadbiran, Encik Nasaruddin bin Jusoh, GPK Hal Ehwal Murid, Encik Hashimme bin Omar, GPK Kokurikulum, Puan Norzawati binti Haji Aziz, GPK Prauniversiti, barisan guru kanan mata pelajaran, guru-guru, kepimpinan pelajar serta para pelajar yang dikasihi sekalian. 

Alhamdulillah, saya, Mohamad Asman bin Mohd Aminjum dari kelas 4 Ibnu Sina bersyukur kerana masih diberikan ruang dan peluang untuk berdiri di atas pentas yang gah ini. Tujuan saya berada di podium ini adalah bagi menyempurnakan amanah yang diberikan oleh tuan pengetua kepada saya bagi membicarakan tentang elemen sivik kita pada bulan ini, iaitu jati diri.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jati diri didefinisikan secara panjang lebar sebagai sifat atau ciri yang unik dan istimewa (dari segi adat, bahasa, budaya, agama dan sebagainya) yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu atau bangsa, atau disebut sebagai identity dalam bahasa Inggeris. Maka, kita dapat fahami bahawa jati diri merupakan ciri-ciri seseorang itu tidak kiralah dari aspek apa jua.

Bermula dengan peringkat remaja, jati diri perlulah dicari dalam tahap ini. Dalam hal ini, peranan orang sekeliling amatlah penting agar membantu golongan remaja mencari jati diri mereka. Namun, hal ini menjadi satu masalah pada hari ini apabila kita disajikan dengan pelbagai isu yang menimpa remaja. Kita tidak mungkin dapat menipu diri kita bahawa segala macam isu remaja itu bukan sahaja menimpa kawasan luar, namun terkena pada batang hidung kita sendiri. Lihatlah sahaja betapa banyaknya kes anak luar nikah, ketagihan merokok dan rokok elektronik, kegiatan mencuri, kegiatan meragut, pergaulan bebas, pengaruh media sosial dan berbagai-bagai lagi masalah yang menimpa golongan remaja di negara kita. 

Semua ini berpunca daripada satu sebab: Jati diri yang sebenar tidak dipupuk dalam diri mereka. Sebenarnya, remaja pada hari ini bukanlah sengaja mahu membuat kejahatan, namun hal ini berlaku kerana mereka tidak menjumpai ciri sebenar seorang remaja. Mereka pula dibiarkan hanyut tanpa ada sesiapa yang menegur dan menasihati mereka sehingga mereka sangka apa yang dilakukan itu adalah benar belaka. Mereka telah salah anggap bahawa kehidupan semasa muda adalah untuk bersuka ria semata-mata. Ternyata mereka tidak salah. Ternyata mereka tidak berdosa. Tetapi yang bersalah ialah kita semua yang hanya menggelengkan kepala tanpa membuat sesuatu. Sedarlah bahawa dengan menggelengkan kepala sahaja tidak akan mampu mengubah apa-apa kerana semua pembaikan memerlukan usaha yang berterusan.

Berbalik semula tentang jati diri, sebagai seorang remaja harapan bangsa dan negara, kita mestilah mempunyai jati diri yang jelas dan terpimpin. Hal ini bagi memastikan agar segala hal yang dilakukan adalah benar dan mendatangkan manfaat kepada semua. Kegagalan membina jati diri akan menyebabkan seseorang itu hanyut dalam mimpi dan khayalannya yang akan merugikan dirinya, bahkan merugikan negara. Oleh itu, pada pandangan anda, apakah sebenarnya jati diri yang perlu ada dalam diri remaja seperti kita? Di sini saya senaraikan beberapa contoh usaha yang perlu kita lakukan untuk membentuk jati diri seorang remaja.


  1. Mengenal asal usul kita

Kita tidak akan mampu membina jati diri kita jika tidak mengetahui asal usul kita. Namun, sekiranya kita tahu dari mana kita datang, kita akan berasa bangga kerana ternyata nenek moyang kita sangat hebat dalam lipatan sejarah yang sepatutnya kita contohi.


  1. Mengamalkan sahsiah diri yang cemerlang

Sahsiah diri dan jati diri sangat berkait rapat. Sekiranya kita ingin menjadi remaja yang berjati diri yang sebenar, kita mestilah mempunyai akhlak yang sempurna mengikut neraca wahyu dan agama. Yakin pada diri sendiri sahaja tidak cukup sekiranya kita tidak mengikut perintah wahyu iaitu menuntut ilmu. Kesimpulannya, untuk membina jati diri, penjagaan sahsiah diri amatlah penting.


  1. Mempertahankan maruah bangsa dan negara

Bangsa kita merupakan bangsa yang istimewa. Penuh dengan sejarah yang patut dibanggakan. Sepatutnya, kita perlu sentiasa mengambil tahu tentang perkara ini. Sebagai contoh, kita mestilah mengenali tokoh-tokoh pejuang yang telah banyak berjuang demi membangunkan bangsa. 

Apabila perasaan cinta akan bangsa dipupuk, maka kita tidak akan mudah untuk terpedaya dengan budaya-budaya barat yang merosakkan itu dan ini membawa kepada hujah saya yang keempat itu:


  1. Menjauhi budaya luar yang memudaratkan

Kita sedar bahawa negara Barat telah mendominasi dalam pelbagai aspek, dari sudut ekonomi, politik, sosial dan sebagainya`. Hal ini menyebabkan budaya hidup mereka dianggap tinggi dan patut dicontohi. Namun, golongan remaja seperti kita sering tertipu kerana sebenarnya bukan semua perkara perlu kita ikuti. Namun, hal inilah yang berlaku pada hari ini. Kita suka untuk meniru-niru budaya luar kerana beranggapan bahawa budaya kita yang penuh tatasusila ini ketinggalan zaman. Hal ini tidak berlaku sekiranya kita mempunyai semangat mencintai bangsa yang tinggi. 

Akhir kata, pembinaan jati diri bukanlah satu isu baharu, namun telah lama dibincangkan kerana masalah ini amatlah kritikal. Dengan kemajuan teknologi dan maklumat, manusia kini tidak lagi menjadi manusia. Tetapi manusia telah menjadi manusia yang bersifat egois, sombong, tamak dan berhati kotor. Oleh yang demikian, bagi menepis segala kejahatan yang mengelilingi ini, marilah kita bersama-sama membina jati diri bangsa kita yang sempurna agar dapat menjadi pedoman sepanjang zaman.


Saya akhiri ucapan saya dengan ucapan terima kasih. Wabillahi taufiq wal hidayah wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


  • Share:

Advertisements